RSS

Otitis Media | Penyakit Telinga

23 Jul

PERNAHKAH anak anda mengadu sakit telinga atau menunjukkan cecair keluar daripadanya? Jika ya, jangan ambil mudah kerana anak anda mungkin terkena jangkitan telinga atau radang di bahagian telinga tengah.

Ia dipanggil otitis media iaitu penyakit telinga yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga satu tahun. Ia penyakit kedua biasa berlaku selepas selesema.

Secara global, 83 peratus kanak-kanak mendapat sekurang-kurangnya sekali otitis media sebelum berumur tiga tahun dan 10 hingga 20 peratus kes membabitkan bayi berumur bawah 12 bulan.

Kajian mendapati 60 hingga 80 peratus kes otitis media berlaku di negara membangun, termasuk Malaysia yang disebabkan oleh bakteria.

Menurut Pakar Bedah ENT (telinga, hidung, tekak) dan Surgeri Kepala Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr Samril Bokari berkata, otitis media terbahagi kepada dua iaitu otitis media dengan kehadiran cecair (OME) dan otitis media akut(AOM).

“Gejala AOM berlaku apabila jangkitan kuman pada saluran pernafasan atas mengakibatkan tisu hidung bengkak tersumbat dan dipenuhi cecair.

“Ia mengakibatkan fungsi pembersihan terganggu dan regulasi tekanan di bahagian telinga tengah menyebabkan jangkitan bakteria masuk dari bahagian belakang hidung ke telinga tengah.

“OME pula berlaku selepas beberapa minggu AOM disebabkan tiub eustachio tidak dapat berfungsi secara normal, menyebabkan tekanan negatif di telinga tengah, seterusnya berlaku rembesan cecair berterusan dari saluran kapilari darah ke dalam telinga tengah,” katanya sewaktu ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, kanak-kanak mudah terdedah kepada kuman atau organisma yang mengakibatkan jangkitan sama ada bakteria, virus mahupun fungus. Jangkitan virus menyumbang kepada 15 peratus daripada keseluruhan kes manakala jangkitan bakteria merangkumi majoritinya.

“Ada tiga jenis bakteria yang kerap menyerang iaitu streptococcus pneumoniae (25 hingga 50 peratus), haemophilus infuenzae (15 hingga 30 peratus) dan moraxella catarrhalis ( tiga hingga 20 peratus).

“Kanak-kanak lelaki lebih mudah dijangkiti berbanding perempuan. Selain itu, kurang menjaga kebersihan antara punca otitis media berjangkit,” katanya.

Otitis media harus diberi rawatan sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan pendengaran kanak-kanak. Apabila pendengaran terjejas, proses pembelajaran juga menjadi perlahan.

Akibatnya kanak-kanak menghadapi masalah dalam bilik darjah, prestasi pelajaran merosot dan perkembangan sosialnya terbantut. Keadaan ini membuatkan kanak-kanak yang mendapat otitis media sering dilabel ‘lembap’.

Jika tidak dirawat segera, otitis media boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti kehilangan pendengaran, kelumpuhan saraf muka, gegendang telinga berlubang, jangkitan telinga kronik (jika berlaku berulang kali), jangkitan merebak ke tulang belakang telinga, meningitis (keradangan selaput otak) dan kehadiran nanah atau sista dalam telinga.

Pencegahan awal adalah dengan memberi bayi susu ibu berbanding susu formula kerana ia menolong mengeluarkan imuniti kepada bayi yang mampu menghalang berlakunya otitis media yang disebabkan posisi ketika penyusuan ibu mampu meningkatkan tahap optimum fungsi tiub eustachio dibandingkan penyusuan menggunakan botol.

Faktor risiko

Ada beberapa faktor risiko utama otitis media iaitu:

  •      Sindrom Down
  •      Kanak-kanak yang tinggal di pusat jagaan kanak-kanak
  •      Kanak-kanak sumbing
  •      Umur — Kanak-kanak berumur enam hingga 18 buan paling mudah mendapat jangkitan telinga. Masalah jangkitan telinga adalah masalah biasa bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur empat bulan hingga empat tahun
  •      Kanak-kanak ditempatkan dalam kumpulan besar seperti di pusat jagaan harian lebih mudah diserang selesema berbanding yang dijaga di rumah. Oleh itu mereka lebih mudah mendapat jangkitan telinga
  •      Terdedah pada asap rokok atau dibesarkan daam persekitaran dengan kualiti udara rendah. Kanak-kanak yang terdedah kepada udara mengandungi asap rokok atau tercemar mempunyai risiko lebih tinggi mengalami jangkitan
  •      Kerap mendapat jangkitan saluran pernafasan atas (contohnya selesema)
  •      Sejarah keluarga. Jika anda, pasangan atau ada ahli keluarga pernah mendapat jangkitan telinga, bermakna anak anda juga berpeluang mengalami masalah sama
  •      Posisi badan ketika disusukan. Bayi yang menyusu dari botol sambil berbaring dikatakan lebih mudah mendapat jangkitan berbanding bayi yang menyusu dalam kedudukan badan tegak atau kedudukan kepala lebih tinggi dari badan. Justeru, pakar menyarankan ibu memberi susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan untuk menguatkan imun badan bayi dan mencegah masalah otitis media

Tanda

Oleh kerana kebanyakan kes berlaku pada kanak-kanak kecil yang belum tahu mengadu, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada tanda ditunjukkan anak seperti:

  •  Anak menarik telinganya
  •  Anak menjadi cerewet dan kerap menangis
  •  Anak sukar tidur
  •  Anak enggan makan
  •  Demam (terutama bayi dan kanak-kanak keci)
  •  Ada cecair meleleh daripada teinga
  •  Anak mengalami masalah keseimbangan
  •  Anak mengalami masalah pendengaran atau lambat bertindak balas terhadap bunyi perlahan

Rawatan

  • l Oleh kerana otitis media boleh menyebabkan pelbagai masalah, rawatan segera perlu diberi. Biasanya doktor memberi antibiotik untuk satu jangka masa pendek, terutama jika kanak-kanak masih kecil dan tidak sihat
  • l Selepas mendapat jangkitan telinga, bahagian tengah telinga anak anda mungkin mengandungi cecair selama beberapa minggu
  • l Dalam tempoh ini anak anda mengalami sedikit masalah pendengaran dan cecair dalam telinganya akan hilang dalam masa dua bulan. Jika masih menunjukkan gejala keresahan dan tidak mendengar dengan baik, bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut
  • l Ini kerana kanak-kanak boleh mendapat beberapa kali jangkitan telinga dalam masa setahun. Bagaimanapun, jika masalah tidak berkurang selepas beberapa kali berjumpa doktor keluarga, minta supaya anak anda dirujukkan kepada pakar kanak-kanak atau pakar telinga
  • l Seperkara yang ibu bapa perlu ingat ialah, bukan semua pesakit otitis media memerlukan antibiotik. Doktor akan membuat pertimbangan sama ada anak anda memerlukannya atau tidak, dan jika tidak diberi, jangan meminta kerana antibiotik tidak berguna jika masalah disebabkan jangkitan virus
  • l Dalam keadaan tertentu — jika antibiotik tidak berkesan, doktor mungkin memasukkan tiub kecil pada telinga anak bagi membolehkan cecair yang terperangkap di belakang gegendang mengalir keluar
  • l Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tiub ini akan keluar sendiri selepas satu tempoh dan gegendang telinga yang berlubang (kesan cucukan tiub) akan sembuh dan tertutup kembali. Pendengaran anak juga akan kembali normal
  • Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, jangkitan telinga berhenti apabila kanak-kanak membesar dan mereka mempunyai pendengaran baik. Namun kaedah paling baik ialah mencegah jangkitan daripada berlaku.

Pencegahan

Mencegah otitis media bermakna kita boleh mengurangkan masalah penghasilan bakteria yang ada daya ketahanan tinggi terhadap antibiotik; beban ibu bapa (daripada segi pengambilan cuti untuk menjaga anak sakit dan kos rawatan), beban sektor perubatan dan ekonomi masyarakat; kesakitan, kesengsaraan dan kesan sampingan yang ditanggung oleh kanak-kanak serta ibu bapa.

  • l Jika mempunyai anak yang mendapat jangkitan telinga, asingkan dengan anak lain hingga demam reda
  • l Pada masa sama, elak membawa anak yang dijangkiti berenang kerana ia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk
  • Beberapa cara boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan telinga seperti:
  • l Membawa anak mendapatkan suntikan vaksin. Doktor akan mencadangkan jenis vaksin yang boleh mencegah jangkitan telinga seperti vaksin untuk pneumokokal. Walaupun ia tidak memberi perlindungan 100 peratus, vaksin sangat berkesan mencegah jangkitan, terutama bagi serotype virus atau bakteria yang terkandung dalam vaksin berkenaan. Malah, ia penting untuk mengurangkan komplikasi teruk akibat jangkitan pneumokokal
  • l Memberikan vaksin mencegah selesema juga dianggap langkah baik kerana risiko mendapat otitis media meningkat jika kerap mengalami jangkitan saluran pernafasan
  • l Basuh tangan sekerap mungkin untuk mencegah pemindahan bakteria atau virus kepada anak
  • l Beri susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan. Elak menyusu anak sambil berbaring
  • l Jangan merokok di dalam rumah. Lebih baik, berhenti merokok. Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok lebih kerap mengalami jangkitan telinga

Selain itu anda boleh meminta doktor memeriksa telinga anak setiap kali ke klinik, juga menyarankan doktor keluarga untuk lebih peka mengenai gejala jangkitan telinga bagi membolehkan masalah telinga dapat dikesan lebih awal.

 
Leave a comment

Posted by on July 23, 2011 in Telinga

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: